Pages

Tuesday, May 4, 2010

Cerpen : Rindu

Tuesday, May 4, 2010
Sathia memandang ke luar tingkap seraya melepaskan keluhan panjang.

"Susah, kau takkan faham, Leha. Aku yang menanggung, bukan engkau. Engkau cuma mendengar. Apa kautahu apa di hulu hati aku ni", Sathia menuturkan kata-kata, rintihan hatinya.

"Apa yang aku tak faham, Sathia. Aku cuma mahu kau bahagia. Kau kawan aku, Tia. Tentu tentu aku mahu kau bahagia. Baik, mungkin aku tak faham, sebab aku tak ada di tempat engkau. Tapi mata aku yang memandang, empati aku bertandang. Mungkin juga aku tak faham. Entahlah. Kau kawan aku, yang aku kenal 13 tahun. Masih, menduga engkau satu kepayahan. Aku bukan kawan yang baik agaknya, Tia", sayu Leha membalas keluhan rakannya. Leha lantas bangun dari meja makan menuju ke peti sejuk beberapa tapak darinya. Perlahan dia membuka pintu peti sejuk yang sudah usang, mungkin sudah berapa tahun sudah dibeli Tia.

"Leha, ni bukan pasal baik tak baik. Engkau kawan aku di dunia, berapa kelahiran pun, kau tetap kawan aku yang baik. Yang cukup berjasa. Tapi, Leha. Aku punya prinsip. Aku percaya dengan cinta. Dia ayah anak aku, Leha. Agama kau juga kata, setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Aku kena sabar. Aku pasti sabar", Leha memeluk Tia dari belakang badannya. Tia terjerit kecil.

Leha menggelengkan kepalanya. Cepat-cepat dia mengambil minyak hijau dari atas para, dibuka tudungnya dan melangkah ke arah Tia. Minyak hijau itu handal, seingat Leha, mengingati kembali Mak Limah di hujung kampung itu bersyarah kepadanya.

"Sampai lebam-lebam macam ni? Sampai bila? Sampai engkau mati? Kalau aku jahat, Tia, aku lapor polis. Ini kira penderaan, Tia. Ni bukan kisah gaduh laki bini dah ni. Ni nak bagi kau mati. Geram aku tengok, Tia".

Sathia tergelak kecil. Leha menyelak belakang baju Tia. Habis berbirat lebam di belakang badan Tia, disapunya dengan minyak hijau yang dicapainya tadi.

"Leha, Leha. Tak habis-habis. Dari kecil sampailah dah besar ni. Tak pernah nak berhenti membebel. Sakit telinga aku ni dengar tahu?" Tia terjerit kecil sekali lagi. Bisa tali pinggang semalam masih lagi terasa. Belum lagi cakar kuku suaminya di muka.

"Aku sayang suami aku, Leha. Tak mungkin aku nak ayah pada anak aku masuk penjara. Kalau engkau, engkau nak?", soal Sathia pada Leha. Leha angguk-angguk.

"Kalau aku, aku bagi je sebijik. Siapa suruh dia nak seksa aku. Kita perempuan, ada hak atas diri kita sendiri.    Memang la suami pun ada hak atas diri kita, tapi takkanlah kita bagi hak pada dia nak bunuh kita. Yang engkau pun, aku tak faham jugak. Lelaki macam tu, engkau sayang lagi. Aku bukan nak laga-lagakan engkau dengan suami engkau, Tia. Tapi tak patut engkau biar Raja buat engkau macam ni." Leha memandang mata Tia. Dalam. Leha mahu Tia tahu, dia cuma mahu kawannya itu bahagia.

Tia senyum.

Dan mereka mengulang kembali cerita-cerita lama, memanjat bukit di belakang rumah. Dikejar tebuan gara-gara mengikut abang Leha melastik burung di hutan. Bermandian di kali dan sering diejek Budin, budak nakal yang selalu mengacau mereka bermain. Kadang-kadang bermain pondok-pondok bersama-sama. Bila meningkat dewasa, mereka bersekolah bersama. Melalui ranjau berdua, berkongsi tawa bersama. Tia rakan sejatinya.

Leha mengeluh. Memorinya bersama Tia sampai di situ. Selepas perbualan mereka hari itu, esoknya, gempar Raja dicari polis. Tapi jejaknya hilang bersama keluarganya. Pelbagai cerita datang menyinggah telinganya. Katanya Tia dibunuh Raja. Ada yang berkata Tia membunuh dirinya selepas bergaduh dengan Raja. Raja menderanya dan terus keluar rumah. Ada yang berkata Tia melarikan diri bersama anaknya kerana tidak tahan menanggung seksa Raja. Ada juga yang berkata satu keluarga lari kerana Raja terlibat dengan kes jenayah. Leha tak mahu percaya. Tak mungkin Tia bunuh diri. Kalau membunuh diri, di mana mayatnya. Leha tak mahu percaya. Baginya Tia tabah. Tidak mungkin. Sudah dua tahun dia hilang jejak dan khabar Tia. Dia rindu.

Lamunan Leha terhenti mendengar bunyi enjin motor suaminya, Budin. Cepat-cepat Leha ke depan pintu menyambut suami kesayangannya. Dikemaskan rambut panjangnya untuk santapan mata Budin sebelum masuk ke rumah. Cepat-cepat dicapai air sejuk yang dibuatnya sementara menunggu suaminya itu pulang. Budin, pekebun kecil yang kerjanya menghantar sayur ke kedai-kedai kecil sekitar pekan daerah mereka tinggal. Budin tidak berpelajaran tinggi, tapi Budin sayangkan Leha. Tidak pernah Budin meninggi suara, apatah lagi mengangkat tangan menyentuh tubuh kecil Leha. Itu yang membuatkan Leha bertambah sayang pada Budin. Biarlah buruk sedikit, budinya tak tersanjung. Leha ingat pesan emaknya.

"Cantiknya isteri abang ni hari ni, geram abang tengok", Budin menurunkan tongkat motornya dan menyandarnya ke tepi halaman. 

"Apa yang cantiknya, abang Budin. Leha ni macam nilah setiap hari. Ni, air untuk abang. Abang Budin nak makan?" Leha malu-malu bila dipuji. Dilirik matanya kepada suaminya itu lantas mengambil barang-barang yang dibawa Budin ke dapur. 

"Leha masak apa, hari ni? Abang dah lapar ni." Budin membuka tudung saji di atas meja. Leha entah hilang ke mana. Budin membasuh tangannya dan mengaut nasi untuk dia dan Leha. Leha kemudian muncul dari ruang tamu menuju ke arah Budin dan mengambil tempat di sebelahnya. Disendukkan gulai ikan patin masak tempoyak ke dalam pinggan nasi Budin. Leha kemudiannya menuang air ke dalam cawan suaminya itu.

"Abang ada dengar pasal Raja. Rupanya Raja kena tangkap polis lama dah, Leha. Tauke Leong kata dia anak dia yang kerja polis tu yang beritahu. Raja tu mengedar dadah." Budin menambah sayur goreng ke dalam pinggannya. Berselera dia makan air tangan Leha. Bagi Budin, masakan Leha tiada tandingan lagi. Bertuah dia beristerikan Leha.

"Tia?" Cepat-cepat Leha bertanya. 

Budin menggeleng kepala. Dia tidak tahu. Leha mengeluh. 

"Assalamualaikum..." tiba-tiba terdengar ketukan di pintu. Leha bangun dari tempat duduknya, namun ditahan Budin. 

"Biar abang yang tengok", Budin membasuh tangannya dan menuju ke pintu hadapan. Lima minit kemudian, Budin kembali ke dapur dan memanggilnya keluar. Leha pelik dan bertanya apa yang berlaku. Budin hanya menggeleng dan membawanya ke pintu rumah.

"Assalamualaikum", Leha disapa. 

Suara itu dirinduinya. 

"Tia?"

Wanita di hadapannya menggeleng. 

"Tidak. Aku Aminah Abdullah, Leha". 

Leha menerpa ke arah wanita itu. Ada tangis dalam ria.

# Hak Cipta Terpelihara : Cik Ubi Taro Ayu #

No comments: