Pages

Saturday, October 29, 2011

Nota Tujuh ; Rindu Semalam.

Saturday, October 29, 2011
Rindu semalam.
Kau mencari jejak rindu yang sudah hilang disapu waktu.

Rindu semalam.
Aku masih teraba mencari erti cinta yang meruntun tangkai jiwa yang mati.

Masih.
Rindu semalam.
Rindu kau pada cinta palsu?

Atau rindu kau pada aku?

Peluk waktu itu, dakap dengan erat.
Tetap, tak mampu kau kejar bayang aku.

Rindu semalam sudah hilang.
Dibatas waktu.

Saturday, August 13, 2011

Nota Enam ; Menjamah rasa

Saturday, August 13, 2011
Punya lagu yang bersenandung
Punya puisi yang mendedikasi
Punya nada yang berirama
Semua punya satu rasa

Pada satu arena.


Gelanggang pencak terbuka.
Tumbuk satu hati biar rosak saraf diri.
Biar jatuh dalam juang menahan rasa.


Jatuh.
Jangan dibiar jatuh.

Namun tanpa sedar, dalam juang kau kalah.

Rindu sudah terjamah, batin sudah terjarah.

Wednesday, May 4, 2011

Cerpen ; Alan.

Wednesday, May 4, 2011
Alan tidak faham. Nek Wan selalu mencemuh bila dia dan Ibu datang ke rumah nek wan di hujung kampung. Nek Wan selalu memandangnya dengan pandangan jijik, mencemuh. Ibu kata Nek Wan memang selalu begitu. Alan pernah tanyakan Ibu, Nek Wan itu benarkah nenek kandungnya. Ibu cuma gelak. Ibu kata Nek Wan itu betul emaknya. Nek Wan itulah yang mengandungkannya sembilan bulan 30 tahun dahulu. Justeru mengapa begitu layanan Nek Wan kepadanya? Kenapa tidak sama dengan Adi, Roslan, Madi, Zati dan  Mira, sepupunya yang lain?
            Alan suka duduk di beranda rumah Nek Wan. Beranda rumah Nek Wan alangnya tinggi. Angin hujung kampung yang kuat masuk ke dalam rumah buat Alan gembira. Alan rasa bangga. Rumah Nek Wan rumah pusaka tinggalan keluarga ibu. Tiang pasak rumah itu teguh. Halamannya luas dan besar, sepupu Alan selalu main kejar-kejar dan konda-kondi. Kadang-kadang mereka main galah panjang. Sekali-sekala, mereka main perang-perang guna bola getah dan pistol kayu buatan sendiri. Alan suka main galah panjang. Tapi bila Alan mahu main dengan Adi, Roslan, Madi, Zati dan Mira, Nek Wan marah-marah. Adi, Roslan, Madi, Zati dan Mira semua  mencebik. Semua pakat tidak mahu terus main. Jadi Alan duduk diam-diam di beranda rumah Nek Wan. Alan kata pada ibu, tak mengapa orang lain tak mahu berkawan dengan Alan. Asal Ibu ada. Alan kata Alan lagi suka duduk di beranda. Rumah Nek Wan tak macam rumah Alan. Rumah Alan rumah kecil. Rumah kayu satu bilik.
Ibu pernah bercerita, keturunan arwah tok dahulu penghulu. Alan tak tahu apa itu penghulu, langsung Alan tanya pada ibu. Ibu kata penghulu itu ketua. Ketua kepada kampung-kampung di pekan Tanah Berdengung. Ketua kepada penduduk dan orang-orang yang ada dalam pekan itu. Semua orang dengar kata arwah Tok. Semua orang turut perintah arwah Tok tanpa banyak soal, kerana arwah Tok orang yang dihormati. Alan rasa kagum. Alan khabarkan pada ibu, Alan mahu jadi penghulu. Macam arwah Tok. Ibu cuma ketawa. Ibu kata, Alan kena pergi sekolah, belajar betul-betul. Baru boleh jadi macam arwah Tok. Alan kena buat semua orang bangga dengan Alan. Cari duit banyak-banyak, boleh tolong ibu. Boleh tolong Nek Mah jiran Alan yang duduk seorang di belakang rumah.
Nek Mah selalu sakit-sakit, tiada anak dan cucu sementelahan. Tapi Nek Mah baik. Selalu bagi Alan karipap buatannya. Alan suka Karipap Nek Mah. Sedap. Alan selalu makan karipap yang Nek Mah beri petang-petang di tepi bendang bila dia duduk atas pangku meneman Ibu sapu sampah. Kadang-kadang Nek Mah datang ke pangku. Nek Mah suka bergurindam dan bersyair. Nek Mah ajar Alan bersenandung. Sekarang Alan sudah pandai dua tiga lagu. Alan rindu Nek Mah. Petang nanti Alan mahu singgah rumah Nek Mah. Tapi dia masih di sini. Di rumah Nek Wan.

#Bersambung#

Monday, March 14, 2011

Nota Lima : Rasa.

Monday, March 14, 2011
Mari kita sulam bait-bait rindu dalam hati kita
biar untaian rasa ini tidak putus dirobek zaman.

Mari kita ikat rasa-rasa itu dengan tali-tali cinta
biar hingga mega mendung menahan sebak
menangisi kemegahan warna pelangi ikatan kita.

Biar mereka berlagu pilu, menggegar amarah dalam rasa cemburu yang kelabu.

Mari kita lebarkan warna merah jambu kasih kita
biar serata alam turut merasa.

Dan ini bukan sumpah kasih.

Ini cuma jerih perih peluh keringat dan airmata.

Kerana kita manusia yang pernah kehilangan rasa.
Kerana kita manusia yang pernah dibaluti gelodak hitam amarah.
Kerana kita manusia yang pernah jatuh dalam perang debu pedih.

Jangan diruntun hati kita dengan titik noda. Jangan biar hati kita merasa beban di dada.