Mari kita sulam bait-bait rindu dalam hati kita
biar untaian rasa ini tidak putus dirobek zaman.
Mari kita ikat rasa-rasa itu dengan tali-tali cinta
biar hingga mega mendung menahan sebak
menangisi kemegahan warna pelangi ikatan kita.
Biar mereka berlagu pilu, menggegar amarah dalam rasa cemburu yang kelabu.
Mari kita lebarkan warna merah jambu kasih kita
biar serata alam turut merasa.
Dan ini bukan sumpah kasih.
Ini cuma jerih perih peluh keringat dan airmata.
Kerana kita manusia yang pernah kehilangan rasa.
Kerana kita manusia yang pernah dibaluti gelodak hitam amarah.
Kerana kita manusia yang pernah jatuh dalam perang debu pedih.
Jangan diruntun hati kita dengan titik noda. Jangan biar hati kita merasa beban di dada.
No comments:
Post a Comment